Accessibility Tools

Belia 19-24 Tahun Golongan Pembaca Aktif

KUALA LUMPUR: Kumpulan belia berusia antara 19 hingga 24 tahun dikesan sebagai golongan yang paling aktif membaca, manakala purata bahan bacaan rakyat Malaysia meningkat daripada 15 naskhah setahun kepada 24.

Angka itu dikongsikan kepada umum dalam Bengkel Pembentangan Dapatan Kajian Persepsi Belia Terhadap Novel Terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), minggu lalu.

Bengkel yang dimudahcarakan oleh Pensyarah Kanan, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi dan Penyelidik Bersekutu Institut Pengajian Sains Sosial, Universiti Putra Malaysia (IPSAS-UPM), Prof Madya Dr Kamariah Kamarudin itu, menampilkan tiga panel iaitu Timbalan Pengarah IPSAS-UPM, Dr Jeffry Lawrence D'Silva; Ketua Makmal IPSAS-UPM, Prof Madya Dr Haliza Abdul Rahman dan Ketua Bahagian Penyelidikan Sastera, DBP, Saifullizan Yahaya.

Saifullizan menerusi pembentangannya, "Cabaran dalam Memupuk Minat Membaca Novel Berbahasa Melayu dalam Kalangan Belia", berkata berdasarkan perkongsian Perpustakaan Negara Malaysia (PNM), rakyat Malaysia meluangkan purata masa selama sembilan jam 22 minit seminggu untuk membaca membabitkan 16 naskhah bercetak dan lapan digital.

Perkongsian PNM itu diperkemaskan dengan dapatan daripada Kajian Persepsi Belia Terhadap Novel Terbitan DBP yang merekodkan, sebanyak 69.9 peratus individu membaca untuk meningkatkan ilmu pengetahuan, bukan semata-mata untuk hiburan dan ini menandakan bahawa membaca dianggap sebagai aktiviti penting serta serius bagi perkembangan intelektual.

Saifullizan berkata, angka itu sangat penting untuk dikongsikan sebagai rujukan utama pengkaji, penerbit, dan juga penulis dalam memahami trend serta keperluan pembaca sekali gus memberi petunjuk terhadap arah tuju industri perbukuan negara.

"Dalam konteks novel Melayu, kajian sama mendapati belia masih memilih novel Melayu dengan mereka yang berusia antara 19 hingga 24 tahun dikesan sebagai golongan yang paling aktif membaca.

"Namun bagi dua kumpulan belia lagi iaitu usia 15 hingga 18 tahun dan 25 hingga 30 tahun, sukar masih sukar untuk disasarkan dengan tepat," katanya.

Tambah Saifullizan, secara umumnya golongan belia mencari naskhah yang menarik minat selain bersandarkan tahap pemahaman mereka.

Bagaimanapun berdasarkan kajian sama katanya, faktor kekurangan variasi dalam genre dan tema menyebabkan pembaca sukar untuk menemui bahan bacaan yang benar-benar menarik dan relevan.

"Selain itu, gaya bahasa yang digunakan dalam sesetengah novel Melayu turut menjadi cabaran dalam menarik minat belia.

"Ramai remaja tidak gemar membaca karya yang menggunakan bahasa rojak, iaitu campuran bahasa Melayu dan bahasa Inggeris kerana ia dianggap mengganggu kefahaman dan mencemari keaslian bahasa.

"Pada masa sama, kekurangan promosi terhadap karya sastera tempatan turut menjadi halangan besar. Walaupun sebahagian besar remaja mengetahui mengenai kewujudan novel Melayu, kurangnya usaha promosi secara meluas menyebabkan karya-karya ini tidak mendapat tempat di hati pembaca muda," katanya.

Beliau berkata, terdapat tiga elemen utama yang wajar diberi perhatian oleh penerbit dan penulis bagi memastikan karya mereka mendapat sambutan dan diminati pembaca, khususnya golongan muda iaitu tajuk yang menarik, kesan emosi dalam penulisan, dan saiz serta jenis tulisan.

Berkongsi pengalaman penerbitan DBP yang mencecah hampir 69 tahun, Saifullizan berkata institusi itu sudah menerbitkan ribuan novel, yang bukan saja menjadi teks di sekolah tetapi juga di institusi pengajian tinggi.

Antara novel terbitan DBP yang terkenal termasuk Hari-Hari Terakhir Seorang Seniman, Senjakala, dan Seorang Tua di Kaki Gunung yang dijadikan bahan pengajaran bahasa dan sastera.

"Setiap zaman membawa cabaran yang berbeza, terutama dalam era digital yang menyaksikan penurunan minat membaca dalam kalangan belia serta kebimbangan terhadap mutu karya sastera.

"Jadi, kami mengambil inisiatif meneliti sejauh mana novel-novel terbitan kami terutamanya masih relevan dan mampu menarik minat belia masa kini," katanya.

Tambahnya, hari ini selain DBP yang menerbitkan sekitar enam peratus sahaja novel di pasaran, 94 peratus lagi adalah keluaran penerbitan swasta seperti Karangkraf, PTS, Iman, Fixi, dan lain-lain.

Justeru katanya, walaupun kajian ini memberi fokus kepada karya terbitan DBP, instrumen soal selidik turut membuka ruang kepada peserta untuk memberikan pandangan terhadap novel-novel terbitan penerbit lain.

 

HUBUNGI KAMI

INSTITUT PENYELIDIKAN PEMBANGUNAN BELIA MALAYSIA,

Aras 10, Menara KBS, No. 27 Persiaran Perdana,
Presint 4, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62570 Putrajaya.

ARTIKEL POPULAR

Paparan terbaik menggunakan pelayar popular seperti IE, Firefox, Chrome, Safari, Opera dengan resolusi 1920 x 1080 piksel.
Tarikh Kemaskini :
000469
Image

Office Address

  • 121 King Street, Australia
  • example@gmail.com
  • (00) 2500-123-4567

Social List